SGM 2.0 Standard Guru Malaysia KPM
Standard Guru Malaysia, SGM 2.0 adalah sebuah dokumen rujukan guru membuat refleksi terhadap keberkesanan amalan profesional berdasarkan kompetensi yang ditetapkan untuk merancang pembangunan profesionalisme berterusan (PPB) bagi peningkatan potensi diri ke arah kemenjadian murid.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerbitkan Standard Guru Malaysia
(SGM) pada tahun 2009.
Berasaskan panduan Southeast Asia Teacher Competency Framework (SEA-TCF), KPM telah mengambil inisiatif untuk membuat semakan semula SGM dan menghasilkan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0).
Standard Utama SGM 2.0
SGM mengandungi huraian tiga standard utama yang merangkumi pengetahuan dan kefahaman, kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta nilai profesionalisme keguruan yang perlu dimiliki oleh guru.
Dokumen ini juga menjadi panduan kepada agensi dan institusi latihan keguruan bagi menyediakan keperluan latihan untuk membantu guru mencapai standard yang dikehendaki.
Tujuan SGM 2.0
Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Tujuan utama Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) diperkenalkan adalah seperti berikut:
Penilaian Kendiri: Guru boleh menggunakan SGM 2.0 untuk membuat penilaian kendiri. Hasil penilaian ini, guru dapat mengenal pasti standard kompetensi yang dimiliki dan seterusnya merancang keperluan latihan bagi pembangunan kerjaya mereka.
Pembangunan Profesionalisme Berterusan: Pihak sekolah dan institusi pendidikan memanfaatkan hasil penilaian kendiri guru untuk merancang Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dan melaksanakan program atau latihan berasaskan sekolah untuk meningkatkan profesionalisme guru dan pembangunan organisasi.
Instrumen Penilaian Kompetensi: SGM 2.0 digunakan sebagai panduan kepada pembuat dasar untuk membangunkan instrumen penilaian kompetensi guru dan penetapan kriteria serta syarat-syarat pemilihan dan pengambilan guru.
Keperluan Latihan: Pembekal latihan menggunakan SGM 2.0 sebagai rujukan untuk mengenal pasti keperluan latihan yang bersesuaian dengan keperluan laluan kerjaya dan PPB guru.
Kerangka SGM 2.0
Kerangka SGM 2.0 dibangunkan melalui proses pemetaan dan analisis kandungan dokumen
asas, dokumen utama dan dokumen sokongan.
Gerak kerja pembangunan ini melibatkan konsultasi dan verifikasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan.
Kerangka SGM 2.0 didasari oleh dua komponen utama, iaitu Standard Kompetensi dan Etika
Keguruan.
Standard Kompetensi terdiri daripada empat domain, iaitu Orientasi Ilmu, Instruksional, Pelibatan Komuniti, dan Kualiti Peribadi.
Kerangka ini juga merangkumi Etika Keguruan yang dijelaskan melalui empat teras, iaitu Tanggungjawab terhadap Profesion, Tanggungjawab terhadap Murid, Tanggungjawab terhadap Ibu Bapa/Penjaga, dan Tanggungjawab terhadap Masyarakat dan Negara.
Muat Turun Buku SGM 2.0 e-ISBN
Sila muat turun buku SGM2.0 versi e-buku / ebook secara percuma dengan klik pautan di bawah. Ianya dapat membantu anda untuk memahami dengan lebih lanjut tentang pelaksanaan dan panduan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0).
SGM 2.0 merupakan dokumen komprehensif yang menjadi asas dan landasan pembentukan jiwa pendidik yang profesional.
Guru diharap berupaya memahami kompetensi sedia ada yang dimiliki melalui penggunaan SSKD dan analisis yang diperoleh.
Seterusnya, guru perlu berinisiatif untuk mengenal pasti aktiviti PPB dan membangunkan profesionalisme secara kendiri bersesuaian dengan keperluan masing-masing selaras dengan hasrat untuk melahirkan guru berjiwa pendidik.